Pasaran kekal cecah 1,710 mata
KUALA LUMPUR 15 Mac – Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) yakin bencana alam yang melanda Jepun tidak akan memberikan kesan negatif kepada pasaran saham tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini adalah kerana asas pelabur dalam pasaran saham adalah luas dan bukan hanya tertumpu kepada para pelabur dari Jepun sahaja.
‘‘Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan pelabur-pelabur Jepun akan menarik keluar pelaburan mereka di sini.
‘‘Sekiranya berlaku, ia tidak memberi kesan ketara kepada pasaran saham tempatan kerana kita turut mempunyai pelabur-pelabur dari negara-negara lain seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Hong Kong yang merupakan pelabur besar di Malaysia,’’ kata beliau selepas taklimat media mengenai persidangan Invest Malaysia 2011 (Invest Malaysia 2011) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pasaran Sekuriti Global Bursa Malaysia, Uday Jayaram dan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Afifuddin A. Kadir.
Tambah Zafrul, daripada segi sentimen para pelabur pula terdapat kebimbangan mengenai bencana akan menjejaskan ekonomi dan ia lebih kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan bukannya pasaran saham tempatan.
Katanya, Maybank IB masih lagi mengekalkan sasaran pasaran saham tempatan akan mencecah paras 1,710 mata pada tahun ini.
Tetapi, Zafrul berkata, sasaran itu akan disemak semula sekiranya harga pasaran komoditi dunia melonjak, termasuk harga minyak mentah global mencecah paras AS$150 (RM453) setong.
‘‘Kami akan mengkaji semula Malaysia KLCI (FBM KLCI) dengan mengurangkannya jika harga minyak mentah terus melonjak. Kita perlu melihat situasi semasa terutama krisis di Timur Tengah dan bencana alam di Jepun.
‘‘Sekiranya ia mencecah paras AS$150 setong, kami akan menyemak semula sasaran, tetapi masih belum dapat dipastikan berapa banyak jumlah penurunan semakan. Ia terlalu awal untuk dipastikan,’’ jelasnya.
Zafrul berkata, Maybank IB yakin dengan prestasi semasa pasaran saham tempatan kerana mempunyai asas kukuh dengan tiga sektor menjadi penyumbang iaitu pembinaan, hartanah serta minyak dan gas.
Katanya, pengukuhan tiga sektor itu juga disebabkan oleh pengumuman yang dibuat kerajaan terutama bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Terdahulu, Invest Malaysia 2011, menyasarkan delegasi pada tahun ini akan meningkat melebih 800 peserta berikutan persidangan pada tahun ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan ETP dan kesannya kepada sektor-sektor berkaitan.
Jayaram berkata, perbincangan pada persidangan itu bakal berkisar mengenai projek permulaan (EPP) serta pelan tindakan yang akan menggerakkannya.
‘‘Tarikan utama Invest Malaysia pada tahun ini adalah ucaptama yang akan disampai Perdana Manteri, Datuk Seri Najib Razak,’’ tambahnya.
Invest Malaysia 2011 bertemakan Pesanan Transformasi akan berlangsung pada 12 hingga 13 April ini.
Ia merupakan kerjasama antara Bursa Malaysia, Maybank IB dan MIDA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan