TRAGEDI yang berlaku di Jepun mendominasi sepanjang minggu lalu, dengan krisis nuklear di Fukushima menjadi perhatian utama pasaran pelaburan.
Dari perspektif ekonomi, kos kepada ekonomi Jepun sangat besar. Kerugian dari segi harta benda dan infrastruktur dianggarkan AS$200 bilion (atau tiga peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun), kata pakar ekonomi, Dr Shane Oliver.
Beliau berkata, kerosakan kilang, bekalan tenaga, infrastruktur pengangkutan dan keyakinan juga akan menekan aktiviti ekonomi sebelum pembangunan semula dilakukan.
“Unjuran kami ialah satu peratus KDNK terjejas pada suku Jun, diikuti lantunan pada separuh kedua.
“Bagaimanapun, ini mengambil kira kekurangan tenaga hanya berlaku dalam beberapa bulan dan Jepun turut mengelak bencana nuklear,” katanya kepada BERNAMA.
Shane berkata, jika krisis nuklear menjadi semakin teruk yang menyebabkan radioaktif merebak dengan ketara ke kawasan yang lebih besar di Jepun, impak negatif awal akan lebih tinggi.
“Tanpa mengira apa yang terjadi, kami berpandangan bahawa tragedi Jepun tidak akan menjejaskan pemulihan ekonomi dunia.
“Pertama, tiada satu pun malapetaka global yang besar, iaitu Three Mile Island, Chernobyl, gempa bumi Kobe, tsunami Asia 2004 atau Taufan Katrina yang telah mencetuskan kemelesetan ekonomi dunia,” katanya.
Apa yang lebih penting, ekonomi Jepun kini hanya mewakili enam peratus daripada aktiviti ekonomi dunia, justeru, jika KDNK negara itu susut empat peratus, ia hanya mengalihkan 0.25 peratus daripada pertumbuhan dunia atau paling tinggi 0.5 peratus apabila mengambil kira kesan pengganda.
Mengikut Shane, impak seperti itu sudah mengambil kira susulan kejatuhan tujuh peratus dalam pasaran saham global yang sudah disaksikan daripada paras ketinggiannya pada Februari.
Ketidaktentuan di Jepun menyebabkan kejatuhan ketara pasaran saham dunia, tetapi terlalu awal untuk berkata kita sudah melihat paras terendah, katanya.
Shane berkata: “Jika kami betul dan pemulihan ekonomi dunia kekal, maka apa yang kita lihat ketika ini hanyalah satu pembetulan dan pasaran saham dijangka lebih tinggi dalam tiga hingga enam bulan akan datang.”
Sementara itu, pengurangan monetari oleh Bank of Japan dan campur tangan bersama negara G7 untuk melemahkan Yen disambut baik.
Awal minggu ini Yen mencecah paras tertinggi berbanding dolar AS dan jika ia dibiarkan berterusan, ia hanya memburukkan impak gempa bumi ke atas ekonomi Jepun.
Krisis Jepun hanya mendatangkan impak kecil ke atas ekonomi Australia dalam jangka pendek menerusi permintaan untuk bahan mentah yang kurang.
Shane memberi amaran bahawa apabila pembangunan semula dilakukan, permintaan untuk bahan mentah akan meningkat.
Semakan semula mengenai tenaga nuklear juga akan menyebabkan permintaan untuk gas dan arang batu meningkat